Tsunami adalah satu perkataan Jepun yang bermaksud ombak laut di perlabuhan. Tsunami merupakan suatu siri gelombang besar yang mempunyai jarak gelombang dan jangka masa yang agak panjang. Perbezaan masa di antara setiap puncak gelombang adalah dalam lingkungan kira-kira 10 minit sehingga 1 jam. Biasanya terjadi secara impulsif disebabkan oleh gangguan pada dasar laut. Apabila berlaku perubahan dasar laut secara tiba-tiba atau dasar laut secara tiba-tiba terangkat selepas berlakunya sesuatu gempa bumi, menyebabkan berlakunya tsunami besar. Gempa bumi, tanah runtuh di dasar laut, ledakan gunung berapi, letupan dan juga hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami.
Tsunami menunjukkan ciri-ciri yang berbeza apabila merambat pada kawasan laut yang mempunyai kedalaman yang berbeza. Di kawasan laut dalam tsunami boleh bergerak dengan kelajuan melebihi 800 km/jam dan biasanya mempunyai amplitude gelombang hanya dalam beberapa sentimeter. Apabila gelombang tsunami menghampiri kawasan pantai yang lebih cetak, kelajuan gelombang berkurangan dan ketinggiannya bertambah sehingga membentuk dinding air dengan ketinggian mencapai puluhan meter. Tsunami yang mengganas di kawasan pantai boleh membawa kepada kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.
Tsunami akan terhasil apabila dasar lautan dengan tiba-tiba berubah kedudukan yang akan menyebabkan air berkocak kuat. Gempa bumi tektonik adalah gempa bumi yang biasanya akan menyebabkan kecacatan atau perubahan pada kerak bumi. Walau bagaimanapun tidak semua gempa bumi boleh menghasilkan tsunami. Bagi menghasilkan tsunami, gempa bumi haruslah mempunyai magnitud lebih daripada 6.5 pada skala Richter, mempunyai kedalaman kurang daripada 100 km dan berlaku di kawasan laut atau berhampiran dengan laut.
Apabila gempa bumi terjadi di dasar lautan, air yang berada dikawasan kejadian akan berubah dari kedudukan keseimbangannya. Gelombang akan terhasil dari perubahan jisim air, yang bertindak dibawah pengaruh graviti yang cuba untuk mengembalikan keseimbangan kedudukannya. Apabila kawasan dasar laut yang berubah kedudukan (terangkat atau turun) adalah luas, tsunami akan terhasil.